
Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)
BANDA HILIR, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 bertempat di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka, telah berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad.

Ucapan Perasmian oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Penganjuran majlis ini merupakan kemuncak kepada sambutan HBN yang disambut setiap tahun pada 15 Mei dengan objektifnya memberikan penghargaan dan pengiktirafan khusus Kerajaan kepada belia Malaysia; memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan belia serta menyediakan platform strategik bagi beli berkumpul dan berkongsi aspirasi dalam pembangunan modal insan.
Menurut Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Bukit Katil, Mohd Rabani Wakiman, 35, program ini sudah pasti mampu menarik minat golongan muda untuk sertai pertubuhan belia. Golongan belia harus membantu merealisasikan aspirasi negara dengan memberi idea-idea baharu yang signifikan dalam pembangunan negara.
“Selain itu peranan belia adalah bagi memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan belia serta memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional menerusi penganjuran program dan aktiviti khusus untuk belia dan anak muda,” ujar Rabani.

Mohd Rabani Wakiman, golongan muda harus sertai pertubuhan belia bagi menyalurkan idea-idea untuk pembangunan negara
Pada majlis tersebut Perdana Menteri turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024.
Istimewa sambutan HBN pada kali ini, KBS menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi menerusi penganjuran Kembara RIUH oleh MyCreative Ventures. Program sebegini dapat memenuhi cita rasa terkini bagi golongan belia. Selain itu, RAKITA sebuah jenama infotainment pelbagai platform yang dicipta khusus untuk golongan muda menjadi Rakan Radio Rasmi sempena sambutan HBN pada kali ini.
Penganjuran sambutan HBN ini diyakini dapat memperkukuhkan potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara dan memperluaskan akses belia kepada inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030).
-AA-