
Laporan/foto: Muhamad Muzaffar Marrudzuki
TAMPIN, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Demi menguatkan lagi silaturahim dalam kalangan penduduk di tiga buah kampung tradisi di bawah Undang Pasir Besar, satu majlis tradisi yang diberi nama Olek Godang telah diadakan di Taman Rekreaksi Pasir Besar, dekat sini semalam.
Olek Godang atau dikenali sebagai kenduri-kendara ini melibatkan tiga buah kampung tradisi di bawah Undang Pasir Besar antaranya Kampung Pasir Besar, Kampung Felda Pasir Besar dan Kampung Kurnia Diraja.

Ahli Parlimen Tampin turut hadir memeriahkan majlis.
Terdapat pelbagai aktiviti diadakan seperti sukaneka, tarik tali dan sebagainya sebagai usaha untuk mengeratkan silaturahim antara tetamu yang hadir.
Menurut Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Haji Mohd Isa, majlis seperti ini membantu penduduk tiga buah kampung tradisi yang terlibat untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara mereka.
“Apabila kita menjaga hubungan silaturahim sesama kita, percayalah ia akan mendekatkan kita dengan kebaikan dan menjauhkan kita daripada beban,” katanya.
Turut hadir Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Haji Abdullah.
-ZS-