Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Pesakit Thalasemia Diberi Rawatan Tanpa Mengira Status

By 20 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anis Hayati Tom/Dulillah Siran (Sabah)

KENINGAU, 20 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan semua pesakit Thalasemia diberi rawatan dan penjagaan yang sepenuhnya tanpa mengira status ekonomi dan lokasi pesakit.

Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau Dr. Valentine Japulee Gantul, berkata KKM berusaha memberi kesedaran dan pendedahan risiko Penyakit ini kepada masyarakat terutama generasi muda.

Ujian saringan kesihatan secara percuma kepada orang awam.

“Sambutan Hari Thalasemia Sedunia 2024 bertemakan ‘Empowering Lives, Embracing Progress : Equitable and Accessible Thalassaemia Treatment for All’ merupakan usaha pihak kerajaan mewujudkan kesedaran kepada orang ramai bahawa penyakit Thalasemia merupakan salah satu risiko kesihatan utama di negeri Sabah.

“Daerah Keningau merekodkan jumlah pesakit Thalasemia tertinggi iaitu seramai 197 orang yang sedang menjalani rawatan, dan rekod ini belum termasuk mereka yang tidak pernah mendapatkan rawatan atau tidak mengetahui status kesihatan mereka,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Thalasemia Sedunia 2024 Peringkat Daerah Keningau, di Dataran Keningau Mall pada Sabtu.

Tambahnya lagi, berdasarkan rekod tahun lalu, dianggarkan 10,000 jumlah pesakit Thalasemia di Malaysia dan daripada jumlah tersebut negeri Sabah merekodkan jumlah pesakit tertinggi iaitu seramai 1,740 orang.

Sekitar suasana ketika program tersebut berlangsung.

“Kita perlu mengukuhkan kerjasama dalam meningkatkan keberkesanan dan strategi agar masyarakat terus peka dan mempunyai kesedaran mengenai risiko penyakit ini kerana pembawa Thalasemia biasanya tidak mempunyai tanda-tanda penyakit dan tidak menyedari dirinya sebagai pembawa Thalasemia tanpa menjalani ujian darah.

“Orang ramai khusus pasangan yang hendak berkahwin atau mempunyai sejarah keluarga menghidap Thalasemia dinasihatkan agar melakukan saringan Thalasemia kerana mereka mampu mengubah masa depan anak yang bakal dilahirkan agar tidak mewarisi penyakit tersebut,” ujarnya.

Sepanjang sambutan itu, pelbagai program diadakan termasuk pameran kesihatan, derma darah dan ujian saringan kesihatan secara percuma kepada pengunjung yang hadir.

-ZS-

Tinggalkan komen anda