
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri sentiasa komited dalam usaha mendekati rakyatnya dan ini menjadi ikutan kepada seluruh kepimpinan negara pada hari ini.
Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pemimpin untuk menyantuni rakyat terutama golongan miskin, anak-anak yatim dan asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail (dua dari kanan) turut sama membantu menyampaikan bantuan wang tunai kepada para penerima.
“Dalam konsep Malaysia Madani, jalan ke depan untuk Malaysia serta masyarakatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya turut mengangkat nilai keluhuran budi, kesucian hati dan hasrat murni yang menjadi panduan dan iktiar secara bersepadu dan holistik dalam pentadbiran yang lebih manusiawi.
“Mereka ini antara golongan mulia yang perlu kita santuni, sayangi dan bimbing agar mereka tidak rasa terpinggir, terasing atau berseorangan,” katanya semasa berucap di Program Ramah Mesra Madani Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf Wilayah Persekutuan Labuan, di sini semalam.
Beliau turut berharap semua pihak terutama kepimpinan di Labuan, agensi kerajaan, syarikat-syarikat korporat tidak ragu dengan aku janji dan usaha Perdana Menteri untuk menjadikan Labuan antara Wilayah Persekutuan yang maju dan sejahtera.

Azman (duduk empat dari kanan) bergambar kenangan bersama para penerima bantuan.
“Saya lihat Labuan antara daerah di Wilayah Persekutuan yang sering mendapat perhatian di mana Perdana Menteri pada tahun lalu telah turun ke Labuan berjumpa dengan rakyat dan seterusnya membincangkan hala tuju kemajuan Labuan pada masa akan dating.
“Tiada lagi istilah Labuan terpinggir atau diasingkan,” katanya.
Pada majlis itu lebih 200 orang pelajar sekolah dan golongan asnaf menerima bantuan wang tunai daripada Kerajaan Persekutuan.
-ZS-