Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

PUO, Samsung Jalin Kerjasama Tubuh Pusat Pendidikan, Kelas Hibrid

By 23 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/PUO

IPOH, 23 Mei (Malaysiaaktif) – Politeknik Ungku Omar (PUO) melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya berkolaborasi dengan Samsung Malaysia Electronics di atas penubuhan Samsung Edu Centre dan Samsung Hybrid Classroom.

Kerjasama itu diraikan dalam satu majlis perasmian yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian di kampus utama PUO, di sini pada Selasa.

Samsung Hybrid Classroom menggunakan teknologi terkini secara interaktif.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pelanggan Teng Kah Wee dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat Samsung Malaysia Electronics Datuk Roh Jae Yeol.

Menurut kenyataan PUO, Samsung telah menjadi rakan kolaborasi strategik PUO sejak tahun 2023.

“Pihak Samsung turut menyumbangkan beberapa peralatan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui Samsung Edu Centre dan Samsung Hybrid Classroom yang mana kuliah dapat dilaksanakan menggunakan teknologi terkini secara interaktif,” menurut kenyataan itu.

Megat Sany ketika lawatannya ke Samsung Edu Centre di PUO.

Dalam majlis sama, PUO turut meraikan seramai 91 pelajar Asasi TVET kohort pertama yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka melalui Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar Asasi TVET PUO.

Megat Sany dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada pelajar Asasi TVET yang berjaya menamatkan pengajian di PUO dan optimis agar momentum kecemerlangan dapat diteruskan bagi pengajian di Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Menurutnya, sinergi di antara politeknik dan MTUN akan dapat memperkukuh ekosistem TVET khususnya dari segi laluan pengajian yang spesifik serta penawaran program TVET kepada pelajar yang cenderung dalam bidang teknikal.

-ZS-

Tinggalkan komen anda