Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

165 Golongan B40, OKU Menduduki Peperiksaan MyLesen Kelas B2 Percuma

By 30 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar (Bachok)

BACHOK, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 165 orang golongan B40 telah terpilih bagi menduduki peperiksaan MyLesen Kelas B2 secara percuma bertempat di Akademi Memandu Kist (AMKIST) Kandis, Bachok.

Menurut Pengarah AMKIST, Datin Noor Haslina Haji Abdullah, Program MyLesen Kelas B2 secara percuma merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh kerajaan MADANI di bawah Belanjawan 2024 melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia dan diselaraskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bagi membolehkan orang awam khususnya golongan B40 mendapatkan lesen memandu kelas B2 (motosikal bawah 250cc) secara percuma.

Taklimat peperiksaan lisan bagi calon OKU dan tidak pandai membaca serta menulis

“Seramai 3000 orang golongan B40 telah terpilih bagi negeri Kelantan dan dibahagikan kepada 11 akademi memandu, di mana AMKIST menerima seramai 165 orang calon. Calon-calon diberi keistimewaan untuk menduduki peperiksaan sama ada secara bertulis atau secara lisan tanpa perlu menduduki ujian komputer bagi melayakkan mereka untuk mendapatkan lesen L sebelum kelas memandu bermula,” katanya.

Tambah beliau, iniasitif ini amat baik dan disokong sepenuhnya serta selari dengan program-program AMKIST yang sentiasa membantu golongan B40 melalui program tanggungjawab sosial dan infaq kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Bagi Nor Iyliana Karmila Rosman, 23 iaitu calon OKU kategori pendengaran, beliau gembira terpilih sebagai salah seorang penerima lesen percuma tersebut di mana selama ini beliau menunggang motosikal tanpa lesen tanpa memahami peraturan memandu yang sebetulnya.

“Saya bersyukur kerana terpilih dalam permohonan yang dibuat dan akan berusaha sebaiknya untuk memperoleh lesen B2 motosikal ini untuk kemudahan di masa hadapan,” ujarnya.

Pendaftaran bagi calon peperikasan MyLesen Kelas B2 bagi peperiksaan lisan dan bertulis

Program MyLesen B2 merupakan satu inisiatif Kerajaan MADANI di bawah Belanjawan 2024 bagi memperkasa 35,000 orang penerima bantuan golongan B40 mendapatkan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 (Motosikal) dengan meningkatkan keselamatan jalan raya melalui pemilikan lesen memandu dan menggalakkan serta memupuk masyarakat untuk memandu kenderaan secara sah di sisi undang-undang serta melahirkan penunggang motosikal yang kompeten. Program ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

-AA-

Tinggalkan komen anda