
Laporan/foto: Akma Laily Hamdan (Maran)
MARAN, 7 Jun (Malaysiaaktif) – Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) turun padang melalui program tanggungjawab korporat sosial “The Humble Giant” bersama komuniti Kampung Kuala Wau di daerah ini.

Penduduk Kampung Kuala Wau turut bersama dalam Program The Humble Giant
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata, AKPK komited untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya asas pengurusan kewangan yang kukuh bagi menghadapi cabaran kehidupan.
“Ujian seperti kehilangan punca pendapatan, kehilangan keupayaan untuk berkerja serta kos saraan hidup yang tinggi dapat ditangani sekiranya mempunyai pengurusan kewangan dengan baik dan wang simpanan,” ujarnya ketika ditemui.
Program “The Humble Giant” dengan kerjasama JPKK Kampung Kuala Wau dan Komuniti Madani Kampung Kuala Wau ini sedikit sebanyak merealisasikan matlamat AKPK kepada komuniti.
Tambah Azaddin lagi, pencarian AKPK untuk simbol yang melambangkan visi sosial perjuangan AKPK membawa mereka kepada pokok tualang gergasi di Kampung Kuala Wau, sebuah figura ikonik yang dikenali kerana manfaat besar kepada ekosistem.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Encik Azaddin Ngah Tasir menanam semula Pokok Tualang di Kampung Kuala Wau
“Namun sedihnya apabila menerima perkhabaran yang pokok tualang tunggal itu telah tumbang dari kedudukan asalnya.
“Sebagai penghormatan kepada legasinya, AKPK mengambil inisiatif untuk menghidupkan semula tapak tersebut dengan menanam anak pokok baru bagi menyambung legasi pokok tualang ini dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang,” katanya.
-AA-