Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Manfaat dan Gunakan Sebaiknya Koperasi

By 6 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai menitahkan supaya masyarakat perlu memanfaatkan sebaiknya peluang dan kelebihan dalam berkoperasi untuk memperbaiki dan meningkatkan taraf kehidupan masing-masing.

“Pembabitan setiap individu dalam aktiviti koperasi mampu meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi masyarakat setempat dan persekitarannya,”titah baginda.

Pemangku Raja Perlis menyampaikan titah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perluncuran Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) dan Hari Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 bertempat di Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perlis, di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Perlis, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Titah baginda, kerajaan persekutuan juga diharapkan agar dapat menyelarasakan bagi penyediaan inisiatif dan peruntukan untuk dimanfaatkan oleh ahli koperasi melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perlis.

“Saya ingin berpesan kepada para pemimpin koperasi supaya sentiasa memastikan koperasi mempunyai tatakelola yang baik dan diuruskan dengan penuh integriti, agar dapat meningkatkan keyakinan masyarakat untuk berkoperasi.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensinya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) diharapkan agar terus menyediakan kemudahan dan menyalurkan bantuan kepada gerakan
koperasi negara seperti kemudahan pembiayaan, geran bantuan, pembangunan produk, akses pasaran, jaringan hubungan antarabangsa, serta latihan modal insan khususnya buat rakyat Negeri Perlis,” titah baginda.

BKK dan HKN 2024 dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) julung kali diadakan di negeri Perlis bertujuan untuk mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan melalui gerakan koperasi selaras dengan hasrat kerajaan dalam mempromosi dan meningkatkan kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

-ZS-

Tinggalkan komen anda