
Laporan/foto: Nur Farhana Azman/Facebook MPJ

Peserta mengumpul dan mengasingkan sampah.
SERKAM, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Program Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Bersama Komuniti @Serkam dan Gotong-Royong (GORO) Mega Perangi Aedes Peringkat Daerah Jasin di Dataran Taman Pulai Indah, Pulai, di sini kelmarin meriah dengan kehadiran warga Jasin terutamanya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam.
Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam Zaidi Attan, program sebegini diadakan bagi memupuk semangat dan tanggungjawab bersama-sama memastikan daerah Jasin bebas daripada ancaman demam denggi.

Zaidi Attan menyampaikan hadiah kepada peserta.
“Kita perlu sedar bahawa masalah denggi ini tidak dapat diselesaikan jika tanggungjawab hanya dipikul oleh pihak tertentu sahaja, setidaknya, pastikan rumah kita tidak menjadi tempat nyamuk Aedes membiak dengan menyahut saranan kerajaan negeri iaitu Kempen 1 jam Setiap Sabtu, Cari dan Musnah tempat pembiakan Aedes,” ujarnya.
Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Jasin Rahizi Ranom, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Mohd Shaiful Hizam Johan, Setiausaha MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari serta ketua-ketua dan wakil-wakil jabatan negeri dan daerah.
-ZS-