
Laporan/foto: Mina Lawai/Evelyn Anak Edward Sini (Sarawak)
KAPIT, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Pengalaman menyertai perlumbaan rakit Safari Rakit Baleh Kapit (SRBK) Edisi ke-27 2024 yang menyelusuri Batang Rajang (Sungai Rajang) adalah pengalaman yang cukup mencabar dan berharga bagi para peserta.

Suasana Pertandingan Berakit SRBK 2024.
Menurut Pengurus Pasukan Bakun River Rider yang berasal dari Belaga, Sylvester Graman Sekino, 30, pengalaman penyertaan kali pertama pasukan mereka adalah di luar jangkaan seperti kederasan air sungai yang amat mencabar.
Sebanyak 20 pasukan telah menyertai Safari Rakit Baleh Kapit (SRBK) Edisi ke-27 pada tahun ini kelmarin dan masing-masing telah menyertai empat kategori acara berbeza yang dipertandingkan.
Sementara itu, Ketua Pasukan PBB Sarawak bagi kategori Rakit Lelaki Terbuka, Pegawai Waran 2 (Bersara) Jingga anak Sedin, 56, berkata beliau berasa gembira dan bersyukur kerana telah menjadi juara pada SRBK kali ini.

Jingga (kiri) bersama piala dan cek cura bernilai RM6,000.
“Tahun ini merupakan kali ketiga pasukan kami telah menjadi juara SRBK dan kami berasa amat gembira kerana mampu mengekalkan kejuaraan.
“Saya berharap agar tahun depan kami boleh menjadi juara lagi,” katanya.
Salah seorang pengurus pasukan yang bertanding Foressa Panyei Berah, 59, berharap penganjur pertandingan menambah jumlah hadiah wang tunai yang ditawarkan bagi menarik lebih ramai penyertaan pada masa akan datang.
SRBK julung-julung kali diadakan pada tahun 1996 merupakan ilham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, mendiang Tan Sri Dr. James Jemut Masing yang bertujuan untuk membantu mempromosikan industri pelancongan di Kapit.
-ZS-