Skip to main content
SelangorBerita TempatanBerita Tengah

STPM 2023: PNGK Nasional Tertinggi Dicatatkan, 41 Calon Peroleh 5A

By 23 Julai 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

BANDAR BARU SELAYANG, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman memaklumkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Nasional Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023 meningkat sebanyak 0.02 mata iaitu 2.84 berbanding 2.82 tahun sebelumnya.

Katanya, PNGK Nasional pada tahun ini juga merupakan PNGK Nasional tertinggi sejak dilaksanakan peperiksaan STPM.

“Bilangan calon yang mendaftar STPM 2023 seramai 42,908 dengan 96.83 peratus telah hadir menduduki peperiksaan.

“Sebanyak 75.98 peratus atau 31,569 calon adalah kategori B40,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM di Dewan Besar MPM, di sini hari ini.

Menurutnya, bilangan calon yang mendapat 5A dalam kelima-lima pelajaran yang diambil telah bertambah daripada 38 calon pada 2022 kepada 41 calon tahun 2023 sementara 29 daripadanya adalah calon kategori B40.

“Namun, bilangan calon yang mendapat 4A telah menurun sedikit iaitu daripada 1,158 pada 2022 kepada 1,087 calon tahun 2023,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr. Ekhwan turut memaklumkan seramai 17 pelajar STPM terbaik kebangsaan mengikut kategori.

“Lima pelajar terbaik kebangsaan aliran Sains dan Sains Sosial, dua orang pelajar terbaik kebangsaan kategori Orang Asli dan lima pelajar terbaik kebangsaan kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas.

“MPM juga akan memberikan anugerah kepada seorang pelajar terbaik Malaysian University English Test (MUET) tahun 2023,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda