
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak) /Muhammad Firdaus Kamarudin
IPOH, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Peranan belia pada masa kini memberi impak besar dan memainkan peranan yang signifikan dalam usaha mengembangkan syiar Islam.

Muhammad Firdaus dan isteri tersenyum bersama trofi dan sijil kemenangan
Demikian pandangan optimis yang disuarakan oleh Pemenang Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia) Muhammad Firdaus Kamarudin sempena Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Perak.
“Belia adalah waris agama dan negara. Jadi jika golongan ini hatinya dekat dengan masjid dan ilmu agama, tidak mustahil generasi yang lahir pada masa akan datang berupaya menjadi lebih baik dari sudut akhlak dan agamanya.
“Institusi agama juga pada masa sama perlu mempelbagai idea dan kreativiti bagi menarik minat belia untuk ke masjid dan mendalami ilmu agama,” ujarnya.

Muhammad Firdaus bersama kedua ibu bapa yang sentiasa menyokong kerjayanya
Muhammad Firdaus, guru agama dakwah yang juga merupakan Pemangku Yang Dipertua ABIM Teluk Intan dan Ahli Dewan Belia Negeri Perak DUN N49 Sg Manik menyatakan kesyukuran atas rezeki kemenangannya walaupun tidak pernah terlintas dia akan mendapat pengiktirafan sebegitu.
“Antara penyumbang utama kejayaan saya pastilah kedua-dua ibu bapa dan keluarga yang tidak putus-putus mendoakan perjuangan dakwah saya.
“Tidak ketinggalan, saya turut ingin berterima kasih kepada isteri atas sokongan dan tunjuk ajarnya berkaitan cetusan idea baharu dan penggunaan teknologi dalam dakwah,” tambahnya.
-AA-