
Laporan/foto: Nasharuddin Mohd Shah (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Karnival Kebudayaan Orang Asli Negeri Johor yang berlangsung selama dua hari bermula 17 hingga 18 Ogos lalu mempamerkan kepelbagaian aktiviti serta kebudayaan setiap etnik masyarakat Orang Asli seperti Jakun, Kuala, Seletar, Kanaq dan Temuan.

Onn Hafiz (hadapan tiga dari kiri) bersama tetamu kenamaan yang hadir.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah menyempurnakan majlis perasmian karnival yang merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Johor.
“Pelbagai intensif diberikan bertujuan untuk mempromosikan kebudayaan dan memajukan lagi Orang Asli di Negeri Johor.
“Setiap 60 Kampung Orang Asli di negeri Johor diluluskan 60 set karaoke bagi menyatupadukan dan mengeratkan hubungan Orang Asli selaras dengan slogan Maju Johor,” katanya semasa berucap merasmikan program, di sini semalam.
Daerah Kota Tinggi selaku tuan rumah pada karnival kali ini telah memaparkan kepelbagaian budaya dan identiti suku kaum Orang Asli serta mempromosikan kepada Bangsa Johor supaya dapat memahami identiti bangsa selain mengeratkan lagi perpaduan di antara kaum mahupun bangsa.

Persembahan tarian pembukaan Karnival Kebudayaan Orang Asli Peringkat Negeri Johor 2024.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zarif Sarif, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Datuk Sapiah Datuk Mohd Nor serta Pegawai Daerah Kota Tinggi Ahmad Nazir Mohd Nasir.
-ZS-