
Laporan/foto: Nur Shahrina Amran/Pejabat Khidmat ADUN Serom (Tangkak)
TANGKAK, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 200 orang usahawan mendapat manfaat dari penganjuran Program Seminar Jelajah Usahawan Suri Johor 2024 Zon Utara bertempat di Dewan Padang Lerek, di sini semalam.

Seminar Jelajah Usahawan Suri Johor 2024 Zon Utara bertempat di Dewan Padang Lerek, Tangkak, di sini, semalam dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail, berkata seminar anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) ini bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan menyediakan ruang serta peluang kepada usahawan terutamanya golongan usahawan wanita.
“Ini merupakan siri kedua program tersebut dengan penyertaan usahawan dari daerah Tangkak, Muar dan Segamat bagi memberi fokus kepada mendekati dan menyokong usahawan baru yang berpotensi.
“Saya juga berharap program ini dapat membantu para peserta mengembangkan perniagaan mereka melalui pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Seminar Jelajah Usahawan Suri Johor 2024 Zon Utara anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) menarik minat penyertaan usahawan dari daerah Tangkak, Muar dan Segamat.
Khairin-Nisa memberi contoh insiatif Strategi Pembangunan Usahawan dan inisiatif Pemberdayaan Wanita dan Golongan Sasar (PINTAR) oleh YPKDT mampu membantu usahawan dengan memberikan akses kepada bantuan dan insentif perniagaan.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir Sahrihan Jani, Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT Noor Faezah Md Esa, Pentadbir Pejabat Tanah Tangkak Mohd Nazid Jasiman dan Pegawai MARA Daerah Tangkak Alyani Abd Majid.
-ZS-