
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/APM Hilir Perak
TELUK INTAN, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa kebakaran di Dewan MPTI Taman Desa Aman, di sini ditutup secara rasmi mulai pukul 1.00 petang semalam.

Mufidah (berkaca mata) ketika menziarahi keluarga mangsa kebakaran sebelum PPS ditutup.
PPS tersebut dibuka pada Selasa lalu bagi menempatkan 39 mangsa susulan kebakaran yang berlaku di Lorong 9, Taman Muhibbah, Teluk Intan membabitkan 12 buah rumah teres dua tingkat.
Menurut Pegawai Daerah Hilir Perak Mufidah Mahfodz, penutupan PPS itu diputuskan selepas meneliti keadaan kawasan kebakaran dan semua mangsa telah pulang ke rumah atau berpindah ke penempatan lain.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan, Penghulu Mukim, individu, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang bertungkus lumus membantu dan menyelaras PPS dengan baik sepanjang ia beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tengah hari semalam.

Mufidah (dua dari kanan) dan Mohd Azroisan (tengah) bersama wakil jabatan/agensi ketika melawat lokasi kebakaran.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang Mohd Azroisan Wahab, berkata kesedaran masyarakat tentang pencegahan kebakaran amat penting dan perlu terus dipupuk.
“Antara perkara yang perlu dipastikan adalah semua pintu keluar dan laluan menuju pintu keluar tidak dihalang dan boleh digunakan.
“Pintu keluar dan laluan yang dihalang akan menyukarkan tindakan pantas dan usaha untuk memadam kebakaran,” ujarnya.
Mohd Azroisan turut menasihatkan penduduk untuk mengelakkan penggunaan wayar sambungan tambahan yang berlebihan kerana perbuatan itu meningkatkan risiko kebakaran.
-ZS-