
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING 19 Ogos (Malaysiaaktif) – SUKMA Sarawak XXI 2024 bukan hanya pertandingan sukan antara negeri tetapi landasan mengumpulkan bakat-bakat muda dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Perarakan masuk Kontinjen Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata walaupun bukan giliran Sarawak namun atas semangat perpaduan Malaysia dan demi pembangunan sukan negara dan anak-anak muda, Sarawak sanggup menjadi tuan rumah.
“SUKMA memupuk semangat patriotisme melalui penyertaan pelbagai negeri dan etnik dalam satu landasan untuk membantu mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
“Maka saya mengesyorkan lokasi pertandingan diadakan di semua bahagian di Sarawak untuk mendedahkan anak-anak muda kepelbagaian budaya dan kaum etnik yang ada di Sarawak seperti di Mukah adanya kaum Melanau, Betong kaum Iban dan Sibu kaum Cina,” katanya dalam Majlis Perasmian SUKMA XXI Sarawak 2024, di sini kelmarin.

Nurul A’in Mohiddin (hadapan) bersama ahli keluarganya menyaksikan majlis perasmian SUKMA XXI Sarawak.
Salah seorang pengunjung, Nurul A’in Mohiddin, 32, berkata dia datang bersama 17 ahli keluarganya dan tidak mahu melepas peluang untuk melihat sendiri hari bersejarah ini.
“Boleh dikatakan sambutan malam ini sangat hebat dengan persembahan nyanyian artis-artis terkenal, persembahan tarian daripada sukarelawan dan sudah pastinya pertunjukkan bunga api yang penuh warna warni.
“Seolah-olah kita tengah menyaksikan perasmian Sukan Olimpik,” ujarnya.
Majlis Perasmian SUKMA XXI Sarawak 2024 telah menyaksikan seramai hampir 40,000 pengunjung yang mula membanjiri stadium seawal pukul 4.00 petang bagi menyaksikan sambutan bersejarah yang gilang-gemilang dan penuh warna-warni.
-ZS-