Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

Sungai Bedaun Semarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan

By 2 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/JPKK Sungai Bedaun

LABUAN, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – Kampung Sungai Bedaun menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan penganjuran Pertandingan Ambang Merdeka pada 31 Julai lalu di Dewan Komuniti Bedaun.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Bedaun Rosmani Puteh, program itu dilaksanakan bagi mengajak komuniti setempat turut sama memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal tiba.

Rosmani (paling kiri) ketika mengiringi rombongan penilai KKDW meninjau aktiviti-aktiviti yang berjalan.

“Kami mengambil inisiatif mengadakan beberapa pertandingan yang mempunyai elemen patriotisme dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat seperti pertandingan Menghias Basikal, Menghias Kek Jalur Gemilang dan beberapa acara sukaneka lain.

“Sambutan yang diterima pada program ini juga menggalakkan apabila turut menerima penyertaan daripada penduduk kampung berhampiran dan semangat menyambut Bulan Kebangsaan jelas terserlah.

“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa program, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan semua pihak yang menjayakan program ini,” katanya, di sini semalam.

Salah seorang pemenang Menghias Kek Jalur Gemilang menerima hadiah.

Tambahnya, program itu juga turut diserikan dengan kehadiran rombongan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang membuat penilaian Pertandingan Anugerah Desa Madani.

“Kampung Sungai Bedaun Bersama lima kampung lain telah terpilih untuk menyertai Anugerah Desa Madani Peringkat Labuan 2024 dan ini satu penghormatan kepada seluruh penduduk kampung yang telah berganding bahu bersama JPKK Sungai Bedaun memajukan kampung ini dalam segenap aspek sekali gus menepati kriteria yang diperlukan dalam penilaian Anugerah Desa Madani,” jelasnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda