
Laporan/foto: Fadillah Abdul Latif (Melaka)
MERLIMAU 20 Ogos(Malaysiaaktif) – Tekad dan usaha seorang pelajar membuahkan hasil apabila terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) dan dinobatkan penerima Anugerah Ketua Pengarah (AKP) dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2024, di sini semalam.

Aleeya bersama ibu bapa.
Minat yang mendalam terhadap bidang masakan menyebabkan Nuraleeya Husna Abdul Rashid, 21, mengikuti pengajian Sijil Kulinari di Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka (KKBBM).
Merupakan pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mendapat Keputusan 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar ini menolak tawaran mengikuti bidang kejuruteraan daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain kerana ingin mengejar impian beliau dalam bidang kulinari.

Pengarah (KKBBM) Muhammad Sani Che Idris kiri gembira meraikan kejayaan Aleeya bersama keluarga tercinta.
Menurut ibu Aleeya, Marhaini Abdul Wahab, 51, Aleeya merupakan seorang yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam melaksana sesuatu yang diminati sejak kecil lagi.
“Saya menyeru ibu bapa di luar sana agar berfikiran lebih terbuka terhadap bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) kerana para graduan TVET juga mempunyai masa depan yang cerah seperti graduan IPTA yang lain.
“Aleeya telah menjalani Latihan Industri di Anantara Desaru Coast dan ditawarkan pekerjaan di sana sebaik sahaja tamat latihan dan kini sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah institut pengajian tinggi awam ini menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pensyarah kulinari pada masa hadapan,” ujar Marhani.
-ZS-