
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri Perlis menyasarkan jualan sebanyak RM200 ribu hingga RM250 ribu pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) edisi 2024 kali ini.

Terdapat 10 usahawan Perlis akan menjual hasil produk di Pavilion Perlis sempena MAHA 2024.
Pengarah FAMA Perlis Anzara Azizan, berkata hasil tersebut dilihat optimis untuk dicapai dengan melihat produk-produk yang bakal dipamerkan oleh usahawan FAMA di Pavilion Perlis sempena MAHA 2024 bermula 11 hingga 22 September ini di MAEPS, Serdang Selangor nanti .
“Pada edisi MAHA tahun ini, FAMA Perlis akan membawakan sepuluh orang usahawan melibatkan dua kategori iaitu lima usahawan dari sektor Industri Makanan Asas Tani (IMAT) dan lima lagi usahawan dari sektor makanan popular,” ujarnya.
Tambah Anzara lagi, pada MAHA 2022 hasil jualan produk usahawan Perlis berjumlah RM150 ribu dan dengan pertambahan sebanyak 47 produk atau stock keeping unit (SKU) pada edisi kali ini, diharapkan akan ada peningkatan dari segi jualan.

Antara usahawan yang sedang menyusun produk untuk di bawa ke MAHA 2024.
“Antara produk yang dibawa pada kali ini lebih kepada produk-produk melawat Perlis seperti kordial harumanis dan aiskrim yang berperisa harumanis.
“Ia merupakan antara produk menarik orang awam yang hadir di MAHA untuk datang melawat dan membeli buah harumanis di Perlis pada tahun hadapan,” ujarnya ketika ditemui di pejabat FAMA Negeri Perlis pada semalam sempena pergerakan usahawan Perlis ke MAHA.
-ZS-