Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

FKU 2024 Sasar 30 Ribu Pengunjung

By 28 September 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat 

KANGAR, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 30 ribu pengunjung dijangka akan mengunjungi Festival Kraf Utara 2024 (FKU 2024) yang berlangsung dari 27 September hingga 6 Oktober ini bertempat di perkarangan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis.

Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis Mohd Shahrir Mohamad Ramli, berkata sasaran tersebut boleh dicapai dengan sambutan orang ramai yang  mengalakkan walaupun baru dua hari festival ini berlangsung bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Mohd Shahrir menunjukan hasil produk di Festival Kraf Utara 2024.

Festival Kraf Utara (FKU) 2024 merupakan kali kedua diadakan di negeri Perlis dan melibatkan kerjasama dengan Kraftangan Malaysia Cawangan Kedah, Langkawi, Pulau Pinang dan Perak.

Dengan bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’ bagi menyuntik pengetahuan, kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap produk kraf Malaysia, FKU 2024 menjadi platform bagi mengetengahkan kehalusan pertukangan kraf Malaysia melalui pengisian aktiviti yang pelbagai.

“Antara aktiviti menarik yang bakal diadakan iaitu Jualan Produk Kraf yang menghimpunkan penyertaan seramai 61 usahawan kraf dari lima bidang utama iaitu Tekstil, Hasil Rimba, Hasil Logam, Hasil Tanah dan Aneka Kraf.

“Objektif penganjuran FKU 2024 adalah bertujuan menyediakan platform kepada usahawan kraf untuk mempromosi dan mengkomersialkan produk kraf Malaysia kepada masyarakat tempatan mahupun pelancong.,” ujarnya

Menurutnya lagi, keistimewaan pada FKU 2024 ini adalah, pihak Kraftangan Malaysia membawakan demonstrasi kraf kembang api dari tiga negeri iaitu Perlis bagi pembuatan Pisau Wali Jantan, Kaca Kristal dari Pulau Langkawi, Kedah dan pembuatan Seramik Bakar Hitam dari Perak.

Demontrasi membuat labu sayong turut di perkenalkan kepada pengunjung.

“Di sini, para pengunjung boleh melihat sendiri setiap langkah dalam proses pembuatan kraf menggunakan api dan memahami teknik-teknik yang digunakan.

“Para pengunjung juga boleh mengambil kesempatan untuk menghayati keindahan dan keunikan produk-produk kraf tempatan serta mendalami warisan budaya yang kaya bagi setiap negeri,” katanya.

Tambah beliau lagi, FKU 2024 juga menyajikan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung seperti Jualan Kraf bagi Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti ( PPKK ) Perlis dan Kedah, Pameran Produk Kraf Identiti negeri negeri zon utara, pertandingan permainan sukan rakyat, persembahan kesenian, persembahan wau, ‘Outreach’ JPJ Perlis bersama Komuniti, Jualan Rahmah dan Program Derma Darah.

“Saya berharap penganjuran FKU 2024 pada kali ini memberi impak yang besar bagi menarik penduduk di Negeri Perlis dan pelancong luar yang datang ke negeri Perlis selari dengan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang merupakan satu program pelancongan khas yang diadakan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri Perlis.

“Selain itu juga saya berharap, FKU 2024 dapat memberi manfaat kepada usahawan kraf dan komuniti kraf serta penduduk setempat yang terlibat bagi membantu menjana pendapatan sekali gus merancakkan lagi ekonomi negeri Perlis,” jelasnya ketika ditemui tengah hari tadi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda