Laporan/foto: M Sures Maniam (Kota Setar)
ALOR SETAR, 28 Sep (Malaysiaktif) – Kira-kira 400 pengunjung membanjiri Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI Peringkat DUN Kota Darul Aman yang berlangsung di Star Parade hari ini.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Simpang Kuala Ooi Biing Yeh, 34, program kali ini diadakan bertujuan untuk mendekatkan lagi masyarakat melalui Komuniti MADANI di dalam DUN Kota Darul Aman dengan agensi kerajaan.
“Di samping itu kita juga dapat bersemuka secara lebih dekat dengan mereka serta berinteraksi secara terus untuk memperolehi maklumat dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.
Salah seorang pengunjung yang ditemui, Hj. Abdullah Hj. Mohd Azhar, 58, meluahkan rasa gembira dengan penganjuran program seperti ini kerana banyak maklumat berguna diperolehi melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan.
Program yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Kota Setar bersama Pusat Khidmat ADUN Kota Darul Aman ini turut melibatkan 15 agensi dan jabatan kerajaan serta syarikat swasta.
Selain dari itu, pelbagai aktiviti menarik juga telah diadakan khusus untuk semua lapisan masyarakat yang hadir.
Pengunjung turut berpeluang untuk menyemak dan membayar saman trafik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus.
-ZS-