
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 25 Sep ( Malaysiaaktif ) – Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan persekitaran siber yang selamat melalui pengurusan risiko yang komprehensif merangkumi pengukuhan keselamatan dan ketahanan terutama melibatkan infrastruktur maklumat kritikal negara.

Shariffah menyampaikan Taklimat Pemantapan Keselamatan Siber Negara
Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek berkata, perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah meningkatkan kebergantungan kepada teknologi ini yang turut membuka ruang kepada risiko ancaman keselamatan siber terhadap negara.
“Dalam usaha memastikan negara membangun selari dengan aspek kemampanan, perihal keselamatan negara haruslah menjadi tonggak utama.

Salah seorang wakil peserta sektor swasta bertanya soalan dalam sesi taklimat
“Sepertimana yang ditekankan di dalam hala tuju Majlis Keselamatan Negara (MKN), pembangunan negara yang mampan akan tercapai sekiranya semua pihak termasuk sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat memainkan peranan masing-masing demi mencapai sebuah negara maju sejajar dengan agenda Keselamatan Menyeluruh (Comprehensive Security – COMSEC) yang digariskan oleh MKN dalam Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025,” katanya semasa merasmikan Program Diplomat Minda “Ke Arah Pemantapan Keselamatan Siber Negara” Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Bagi Tahun 2024 di sini pagi tadi.
Beliau berharap perkongsian yang disampaikan pada program itu dapat memberikan input yang berguna berkaitan keselamatan siber terhadap semua pihak yang terlibat khususnya sektor awam, swasta, instalasi sasaran penting dan institusi perbankan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Hadir sama Pengarah Bahagian Dasar dan Kerjasama Antarabangsa, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Shariffah Rashidah Syed Othman dan Pengarah Keselamatan Negeri MKN Labuan, Mohd Hafiez Mohd Daud.
-AA-