Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Laungan Merdeka dan Lagu Patriotik Bergema Sekitar Pasar Tasek Raja

By 1 September 2024September 29th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

PASIR MAS, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Laungan Merdeka disusuli lagu patriotik 31 Ogos bergema sekitar Pasar Tasek Raja, di sini pagi semalam apabila peniaga yang berniaga di pasar ini berhimpun dan berarak mengelilingi pasar berkenaan.

Menurut Pengerusi Peniaga dan Kebajikan Pasar Tasek Raja, Muhammad Shamsuri Yaakob, 44, para peniaga yang ada di sini bersama anak-anak dijemput untuk berarak mengelilingi Pasar Tasek Raja untuk menyemarakan sambutan Hari Kemerdekaan pada hari ini (Sabtu).

Perarakan turut berlangsung di dalam pasar.

“Pasar adalah tempat orang-ramai serta masyarakat setempat datang dari segenap tempat bagi mendapat bahan keperluan harian.

“Dari situ saya telah berpakat dengan para peniaga di sini untuk mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan bagi menyemarakkan dan memupuk semangat cintakan negara,” katanya.

Muhammad Shamsuri yang mesra dikenali sebagai Pak Su akan terus mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan di masa akan datang dan berharap agar lebih banyak penyertaan daripada semua peniaga.

“Saya rasa seronok dan terharu apabila ramai yang datang membawa anak-anak dengan berpakaian kemerdekaan dan pakaian tradisional untuk golongan ibu bapa,” katanya yang mengetuai perarakan tersebut.

Peniaga Pasar Tasek Raja Pasir Mas bersama kanak-kanak yang berhimpun untuk berarak mengelilingi pasar.

Seorang peniaga pakaian yang ditemui Nur Ain Mazlan, 38, berkata beliau berbangga apabila dapat mengikuti perarakan sambutan Hari Kemerdekaan untuk menimbulkan rasa cinta kepada negara.

”Apabila saya berpakaian tradisional dan membawa Jalur Gemilang, semangat kemerdekaan terasa tiba-tiba.

“Saya berazam akan memberi sokongan dan melibatkan diri jika ada program seperti ini,” katanya.

Seorang lagi perniaga pakaian, Nurfadillah Abdullah, 48, dari Kampung Semuba, di sini, berkata Hari Kemerdekaan perlu disambut oleh semua rakyat Malaysia.

“Program atau majlis sambutan Hari Kemerdekaan menggambarkan masyarakat Malaysia hidup aman damai, bersatu-padu, berjiwa merdeka dan sayangkan kepada negara,” katanya.

Hampir 100 orang kumpulan peniaga berarak sambil diiringi lagu 31 Ogos nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad.

-ZS-

Tinggalkan komen anda