
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 28 Sep (Malaysiaaktif) – Warga peladang, penternak dan nelayan di pulau itu menerima bantuan dan insentif bernilai RM2.161 juta yang disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Salah seorang peladang ceria menerima bantuan kerajaan.
Menurut Mohamad Sabu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan sentiasa menyokong usaha Labuan dalam memperkasakan agenda agromakanan negara dan penganjuran program yang merupakan hasil manifestasi komitmen tersebut.
“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada seramai lebih 245 warga peladang, penternak dan nelayan, dan saya berharap dengan adanya bantuan serta inisiatif tersebut akan menyuntik semangat mereka untuk terus memainkan peranan yang proaktif dalam merencanakan industri pertanian dan agromakanan.

Mohamad Sabu (duduk tengah) bergambar bersama warga peladang, penternak dan nelayan Labuan.
“Sesungguhnya penyerahan bantuan-bantuan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Negeri dalam memacu pertumbuhan industri agromakanan negara secara khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan,”katanya semasa berucap pada Program Libat Urus Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Wilayah Persekutuan Labuan di sini semalam.
-ZS-