
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
HUTAN MELINTANG, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Pelepasan benih udang galah di Kampung Sungai Dulang bukan sahaja membantu menjaga keseimbangan ekosistem Sungai Perak malah turut menjana ekonomi nelayan tempatan.
Ketua Cawangan Sumber Perikanan Tangkapan, Jabatan Perikanan Negeri Perak Norul Faheizah Salehuddin, berkata perairan Sungai Perak merupakan habitat yang sesuai untuk pembiakan udang galah.

Nelayan memindahkan benih udang galah ke dalam bot untuk dilepaskan ke Sungai Perak.
“Dalam program ini, sebanyak 48,300 benih udang galah telah dilepaskan.
“Selain menambah stok udang galah di Sungai Perak, usaha ini turut membantu menjana pendapatan nelayan tempatan,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Tambah beliau, biarpun Sungai Perak sesuai untuk habitat udang galah, namun pembiakannya boleh terjejas dengan persekitaran sungai yang tercemar selain kehadiran ikan pemangsa.
“Justeru, orang ramai diseru untuk bersama-sama menjaga kebersihan sungai dan menangkap ikan pemangsa seperti Baung Ekor Merah dan Patin Mekong yang disedari berada di perairan ini,” ujarnya.

Kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Perak bergambar bersama nelayan dan agensi yang terlibat sebelum pelepasan benih udang galah.
Sementara itu, Ketua Kampung Tanah Lalang Mohamad Fadzil Matsud menzahirkan ucapan terima kasih atas usaha Jabatan Perikanan melepaskan benih udang galah di kawasan sungai Kampung Sungai Dulang.
“Sejak program ini dilaksanakan, jumlah tangkapan udang galah dan ikan oleh nelayan tempatan meningkat.
“Kehadiran pelancong juga bertambah dan kami boleh menjana pendapatan sampingan melalui sewaan bot dan alatan memancing,” ujarnya.
Program ini turut disertai Pengarah Perikanan Negeri Perak Mohd Ghazali A. Manap.
-ZS-