
Laporan/foto: Mohammad Rasuli/Khairul Izham (Bagan Datuk)
RUNGKUP, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Malam Bulan Kebangsaan di Bagan Pasir Laut, di sini pada Sabtu dimeriahkan dengan Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik.
Pengerusi Komuniti MADANI Rungkup 2 Asri Ismail, berkata pertandingan ini merupakan antara pengisian dalam Program JIWA@Merdeka anjuran Komuniti MADANI di daerah Bagan Datuk.

Persembahan memukau Rosli Mubin berjaya memikat hati juri.
“Pertandingan ini antara pendekatan Komuniti MADANI Rungkup 2 dan Pejabat Penerangan Bagan Datuk untuk mendekati rakyat dalam usaha menyemarakkan semangat patriotik pada Bulan Kebangsaan.
“Seramai 10 peserta telah bertanding dan pemarkahan dinilai berdasarkan tempo, kesesuaian lagu dan gaya persembahan peserta,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang Ahmad Mustain Hamid menzahirkan rasa gembira dengan persembahan yang dipamerkan oleh peserta.
“Semangat patriotik jelas terpamer melalui persembahan yang memukau.

Ahmad Mustain (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut serta Asri Ismail (kanan).
“Program seumpama ini bukan sahaja menghiburkan penonton malah memeriahkan lagi Bulan Kebangsaan dengan aktiviti bermanfaat,” katanya.
Dalam pada itu, johan pertandingan Rosli Mubin, 51, yang mendendangkan lagu Bahtera Merdeka nyanyian Ahmad Jais menzahirkan rasa gembira atas kemenangannya.
“Saya memang minat menyanyi tetapi tidak pernah terlibat dalam sebarang pertandingan nyanyian sebelum ini.
“Terima kasih kepada Jabatan Penerangan dan Komuniti MADANI Rungkup 2 atas peluang yang diberikan,” katanya yang dimaklumkan mengenai program itu melalui hebahan oleh Komuniti MADANI.
-ZS-