
Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Vicky Sylvester Matanjang (Sabah)
KOTA KINABALU, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Hujan lebat dan angin kencang yang membadai Padang Merdeka Kota Kinabalu pada malam Sambutan Hari Malaysia 2024 tidak mematahkan semangat rakyat untuk tetap setia menunggu sehingga acara bersejarah itu melabuhkan tirai.
Sejurus hujan mulai reda, ribuan masyarakat kembali ke tapak acara untuk mendengar ucapan dan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum menyaksikan secara langsung persembahan hologram sejarah pembentukan Malaysia 16 September 1963.

Rahman berlatarbelakangkan suasana Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sundar Lawas, Rahman Kassim, 54, berkata, beliau sanggup memandu selama tiga jam daripada Lawas bagi mengabulkan impian keluarganya menyambut Hari Malaysia buat pertama kalinya.
“Saya gembira dan bangga dapat merayakan Hari Malaysia dengan suasana yang meriah dengan pelbagai pengisian. Bukan itu sahaja, pelbagai lapisan masyarakat dapat meraikan sambutan ini bersama-sama dalam suasana yang aman.
“Oleh itu, saya menyeru kepada generasi muda untuk terus menghargai dan

Haji Kamarzaman (kanan) bersama rakannya Haji Mohammad Saperi.
mempertahankan kemerdekaan yang kita miliki hari ini, kita tidak akan dapat menikmati kemeriahan seperti ini sekiranya negara kita huru-hara,” katanya.
Bagi Kamarzaman Maarof, 68, beliau sangat berbangga dengan sambutan dan sokongan rakyat Sabah terhadap Hari Malaysia yang sangat bermakna buatnya yang lahir tujuh tahun selepas pembentukan Malaysia.
“Sejujurnya suasana sambutan hari ini berbeza pada zaman kami, tetapi maknanya dan semangat sambutannya tetap sama untuk mengenang perjuangan pemimpin negara dan negeri kita.
“Dengan kehadiran begitu ramai orang dan pengisian yang pelbagai, saya berharap Sabah akan diberikan peluang sekali lagi menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu bagi Sunarti Rosmin, 43, beliau dan ahli keluarga yang lain sanggup memandu selama tiga jam dari Pitas untuk hadir ke Sambutan Hari Malaysia dan pengalaman itu lebih berharga daripada menonton di kaca televisyen.
“Saya teruja melihat kemeriahan sambutan Hari Malaysia buat pertama kali. Walaupun cuaca hujan dan angin kencang, namun rakyat tetap setia memeriahkan majlis.
“Sudah tentu hadir sendiri ke sini berbeza dengan sekadar menonton di kaca televisyen. Harapan saya, rakyat akan terus teguh bersatu-padu,” katanya mengakhiri perbualan.
Untuk makluman, Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim di Padang Merdeka Kinabalu pada Isnin.
-ZS-