
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Mohd Rizal Matasan (Sabah)
KOTA KINABALU, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Hari Sabah yang buat pertama kalinya disambut tahun ini membawa makna yang cukup mendalam kepada seluruh rakyat Sabah.
Selari dengan semangat lagu negeri, ‘Sabah Tanah Airku’, tarikh keramat yang diraikan ini menjadi medan penyatuan pelbagai kaum dan etnik selain menyemarakkan lagi rasa cinta serta bangga sebagai rakyat negeri di bawah bayu.

Peter ketika ditemui pada Sambutan Hari Sabah.
Seorang warga emas, Peter Ng, 61, menyifatkan Sambutan Hari Sabah sebagai suatu pengiktirafan yang sanggat tinggi terhadap sejarah negeri ini selain menghargai jasa serta perjuangan pemimpin terdahulu.
“Pemimpin terdahulu telah membawa Sabah ke arah kemajuan dan kemakmuran hari ini, sebagai rakyat Sabah, terima kasih dan syukur kerana ini akan membangkitkan semangat rakyat untuk terus menghargai warisan serta mempertahankan identiti negeri Sabah dengan penuh kebanggaan.
“Setiap tahun, saya sentiasa memperingati Hari Sabah, dan saya berasa bangga melihat bagaimana sambutan ini terus berkembang dan diiktiraf dengan penuh penghargaan,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Sabah di Padang Merdeka, di sini pada Sabtu.
Lahir pada tahun 1963 tahun yang sama Sabah mencapai kemerdekaan, Peter menitipkan pesan agar generasi muda memelihara semangat perpaduan demi masa depan Sabah yang lebih gemilang.

Nur Shafiqah (kanan) dan rakannya Farah Natasyah Fauzie ketika ditemui di sambutan Hari Sabah.
“Anak muda perlu menjulang pengorbanan pemimpin Sabah yang telah dan sentiasa berjuang demi keamanan yang dinikmati hari ini, marilah bersama-sama memacu kemajuan negeri tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik demi keamanan dan keharmonian seluruhnya,” ujarnya.
Mewakili suara generasi muda, Nur Shafiqah Kassim, 27, percaya Sambutan Hari Sabah telah membuka mata para belia untuk sentiasa menjulang sejarah Sabah sekali gus menjadi semangat untuk mencurahkan bakti kepada negeri ini.
“Saya bersyukur dan gembira kerana dapat hadir ke majlis Sambutan Hari Sabah dan dapat merasai kemeriahannya, ini bakal menjadi saat yang penting untuk anak-anak Sabah diberikan pendedahan sejarah negeri selain sebagai semangat kepada golongan ini untuk memberikan bakti yang terbaik kepada negeri ini,” katanya.
Pelbagai pengisian telah diadakan sempena Sambutan Hari Sabah antara Karnival Hari Sabah bermula 24 Ogos hingga 1 September lalu yang menyajikan pelbagai acara menarik seperti Tamu Hari Sabah, pameran sejarah Hari Sabah, tayangan filem pendek dan persembahan daripada artis tempatan Sabah.
-ZS-