
Laporan/foto: Zayana Isa/Sh.Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Sebanyak 126 Komuniti MADANI di Negeri Pahang menerima watikah pelantikan sempena program Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2024, di sini semalam.
Salah seorang wakil Komuniti MADANI dari Temerloh Hamdan Ahmad menzahirkan penghargaan beliau kepada Jabatan Penerangan Negeri Pahang atas penyampaian watikah ini dan juga kerjasama yang diberikan melalui penganjuran program yang diadakan di kawasan mereka.

Acara senamrobik disertai penduduk setempat.
“Saya mengucapkan terima kasih khususnya kepada Pejabat Penerangan Daerah Temerloh kerana memberikan kerjasama yang amat baik kepada pihak kami dalam menjayakan objektif penubuhan Komuniti MADANI ini,” ujarnya kepada Malaysia Aktif.
Menurut Pengarah Penerangan Negeri Pahang Cik Kazidi Mohd Zainuddin, penyampaian watikah berkenaan disampaikan kepada Ketua Komuniti MADANI dari 11 daerah di negeri Pahang.

Program turut diserikan dengan Taklimat Komuniti MADANI yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Cameron Highlands.
“Alhamdulillah, bersempena program Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Pahang 2024 ini kita menjemput semua Ketua Komuniti MADANI untuk menerima watikah pelantikan yang mana kesemua komuniti ini memberikan komitmen yang cemerlang dalam menjayakan program-program bersama komuniti mereka,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik turut dijayakan sempena Karnival Kita MADANI ini antaranya senam robik, pertandingan mewarna, pertandingan Bintang Patriotik, Kuiz Kenegaraan dan pameran agensi kerajaan dan telah disempurnakan oleh Ahli Undangan Negeri Kawasan Inderapura Datuk Sri Haji Shafiq Fauzan Mohd Sharif.
-ZS-