
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/ Zon Maritim Labuan
LABUAN, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Cubaan sebuah bot membawa keluar 1,920 tin minuman keras tanpa cukai berjaya dihalang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Labuan, semalam.

Barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk tindakan lanjut
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izawanhadi Idros, berkata kru Bot Petir 90 yang sedang melaksanakan rondaan di sekitar Perairan Labuan telah menahan sebuah bot yang bergerak laju dengan keadaan mencurigakan dari Labuan ke Menumbok, Sabah.
“Ketika menghampiri untuk pemeriksaan lanjut, pihak penguatkuasa Maritim Malaysia mendapati tekong bot terbabit telah terjun ke laut dan seterusnya melarikan diri ke hutan paya bakau berhampiran.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit dipercayai cuba menyeludup keluar minuman keras pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan dalam lingkungan RM40 ribu,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa keluar minuman keras tanpa cukai melebihi jumlah yang dibenarkan.
-AA-