Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Karnival Baca Perdana 2024: Perpaduan dalam Pembacaan

By 5 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhamad Hafizuddin Abdul Halim/Hafizee Hashim (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Bertemakan ‘Perpaduan dalam Pembacaan’, Karnival Baca Perdana 2024 bertujuan mempromosikan budaya membaca dan menyatukan komuniti Malaysia melalui buku sebagai jambatan perpaduan.

Karnival Baca Perdana 2024 anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, di sini semalam.

Gimik perasmian Karnival Baca Perdana 2024.

Sepanjang karnival, lebih 20 program akan diadakan, termasuk Bicara Intelektual 2024, Sesi Lensa Sastera, Forum Membaca Perdana dan Podcast Borak Pustakawan.

Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan kadar pembacaan dengan rakyat kini membaca 24 naskhah buku setahun berbanding dua naskhah pada tahun 2005.

Hasnol dalam ucapan perasmiannya, berkata Kementerian Perpaduan Negara akan mewujudkan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) untuk memantau tahap membaca rakyat Malaysia.

Antara reruai yang tersedia di Karnival Baca Perdana 2024.

“Kementerian Perpaduan Negara akan meneliti dan melaksanakan beberapa cadangan yang telah dikemukakan melalui Kajian Profil Membaca 2022-2023.

“Antara cadangan tersebut adalah yang pertama mewujudkan Indeks Membaca Kebangsaan untuk memantau tahap membaca rakyat Malaysia secara menyeluruh mulai tahun 2025 sehingga tahun 2030. Yang keduanya, Program Penebusan Baucar Buku diadakan kembali bagi merancakkan minat serta budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya generasi muda,” katanya.

Karnival ini diharapkan menjadi platform untuk menyemarakkan budaya membaca, memupuk perpaduan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilmu dalam kalangan masyarakat Malaysia.

-ZS-

Tinggalkan komen anda