Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Hasil Kraf jadi Sumber Pendapatan Sara Anak OKU

By 12 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim (Sabah)

KOTA KINABALU, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Kemahiran menganyam hasil rimba kepada produk kraf tangan kini menjadi sumber pendapatan utama ibu tunggal Rina Monica Juin, 49, demi menyara keluarganya.

Beliau yang turut membesarkan dua cahaya mata Orang Kurang Upaya (OKU) telah menjalankan perniagaan kraf tangan di rumah sejak tahun 2019.

Antara kraf tangan yang dipamerkan di gerai milik Rina.

Berbekalkan kemahiran menganyam yang diwarisi turun-temurun, wanita berasal daripada Miri, Sarawak ini menghasilkan pelbagai jenis produk kraf berupa aksesori beg dan bakul menggunakan buluh serta daun bemban.

“Saya menetap di kawasan pedalaman, aktiviti utama golongan wanita adalah menganyam pelbagai jenis produk untuk dijual selain digunakan di rumah-rumah tradisi dan dari sinilah saya mempelajari teknik anyaman daripada ibu saya pada tahun 2017.

“Saya mula menjual hasil kraf dua tahun kemudian dengan menerima tempahan terus daripada pelanggan, juga secara dalam talian, dan kini saya juga aktif menyertai program-program serta pameran yang dianjurkan terutama di sekitar Sarawak,” katanya ketika ditemui pada Festival Kraf Borneo 2024, di sini pada Jumaat.

Rina melayan pelanggan yang datang ke gerainya.

Mengetengahkan corak daripada etnik Penan dalam setiap rekaannya, Rina Monica berharap masyarakat setempat terus menyokong industri kraf tangan tempatan agar nilai warisan kebudayaan ini dapat terus berkembang maju.

“Saya berharap agar saya dapat mengembangkan perniagaan saya dengan pelbagai jenis produk seperti usahawan kraf tangan yang lain, dan saya juga berharap masyarakat di luar sana terus menyokong hasil kraf tangan tempatan agar ekonomi Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) seperti saya terus terbela,” ujarnya.

Sebagai makluman, Festival Kraf Borneo 2024 diadakan bermula pada 26 September lalu sehingga 13 Oktober ini bertempat di Pusat Beli-Belah 1 Borneo Kota Kinabalu ini bukan sahaja melibatkan pengusaha kraf dari Sabah dan Sarawak malah ianya turut melibatkan pengusaha kraf tangan dari Semenanjung Malaysia.

-ZS-

Tinggalkan komen anda