Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Kenaikan Gaji Minimum Diharap Meningkatkan Produktiviti Golongan Pekerja

By 26 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari 2025 yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, diyakini dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Ramai pekerja dengan kelayakan akademik dan kemahiran rendah termasuk pekerja sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) sebelum ini menerima gaji bulanan rendah yang tidak seimbang dengan kos sara hidup yang tinggi.

Menurut pemilik Aero Premium Car SPA Mohd Sham Mohd Affendi, 62, yang ditemui semalam, berkata sebagai majikan, beliau akur dan menyokong saranan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan.

Mohd Sham.

“Kenaikan gaji ini diyakini dapat memberi motivasi kepada pekerja dan mendorong mereka untuk lebih produktif dan setimpal dengan gaji yang diberikan.

“Namun tidak dinafikan akan berlaku kenaikan harga barang dan berharap harga barangan dapat dikawal bagi mengimbangi kenaikan gaji itu,” katanya.

Beliau turut berharap adanya pemberian geran atau dana serta pengurangan cukai pendapatan syarikat kepada pengusaha-pengusaha.

Menurut Nurul Najwa Adzahar, 27, seorang kerani di sebuah syarikat di Kuching, dia menyambut baik kenaikan gaji tersebut namun berharap kenaikan gaji ini tidak menjurus kepada kenaikan barangan keperluan mahupun barangan biasa.

Selain itu, seorang pekerja swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Muhamad Fadhlur Rahman, 26, berkata kenaikan gaji minimum dari RM1,500 ke RM1,700 dalam pembentangan Bajet 2025, sangat melegakannya.

“Saya yang mula bekerja pada Oktober tahun lalu setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda, hanya menerima gaji permulaan minimum RM1,500.

“Bagaimanapun, saya amat berharap agar gaji minimum itu tidak merangkumi kami, para graduan yang telah berkorban masa selama lima tahun dan wang ringgit untuk mendapat pendidikan yang tinggi dengan harapan mendapat gaji yang lebih baik,” katanya.

Peningkatan gaji minimum itu bukan sahaja membolehkan para pekerja menikmati kehidupan yang lebih selesa malah mampu membuat simpanan sebagai persediaan ketika kecemasan atau tabungan masa depan.

Selain itu, peningkatan gaji yang lebih baik akan meningkatkan kuasa beli rakyat yang seterusnya dapat mendorong pekerja untuk lebih produktif dan secara tidak langsung akan mewujudkan situasi menang-menang apabila peningkatan produktiviti akan memberi faedah kepada majikan sama ada dalam sektor industri mahupun perkhidmatan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda