Laporan/foto: Muhammad Sobri/Muhamad Haizir (Langkawi)
LANGKAWI, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Seekor penyu agar yang diselamatkan oleh nelayan, dilepaskan kembali ke habitat asal di Pulau Pasir, di sini semalam setelah tiga bulan berada di bawah pemantauan Underwater World Langkawi.
Program Konservasi Marin dan Konsultansi Kawasan Perlindungan Marin (Pelepasan Penyu Agar) adalah usahasama antara Jabatan Perikanan Kedah, Underwater Langkawi dan kumpulan sasar di Pulau Dangli bertujuan menerapkan rasa kesedaran dalam diri masing-masing tentang betapa pentingnya kita menjaga ekosistem alam demi kelestarian masa hadapan alam kita.
Menurut Pengarah Perikanan Negeri Kedah Sukri Deris, penyu agar yang diberi jolokan Emelda berusia dalam lingkungan 10 tahun dan beratnya 55 kilogram (kg) diletakkan di bawah pemantauan Dr. Kavvin Sehgar iaitu doktor haiwan di Underwater World Langkawi setelah diselamatkan oleh nelayan kerana kecederaan di paru-paru dan tidak mampu berenang dengan baik.
“Ketika diselamatkan, berat penyu tersebut hanyalah 38 kg dan meningkat ke 55 kg, dalam keadaan baik ketika dilepaskan hari ini.
“Pemilihan Pulau Pasir sebagai tempat pelepasan Emelda kerana ianya termasuk dalam 99 gugusan pulau di Langkawi serta menjadi laluan dan tempat persinggahan penyu liar,” katanya.
Dalam masa yang sama program pembersihan pantai turut diadakan yang disertai oleh 55 orang kakitangan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan yang berjaya mengutip 200 kg sampah yang terdiri daripada botol, plastik, kotak rokok, kaca, pembungkus makanan dan lain-lain.
-ZS-