Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

KFBD 2024 Promosikan Bagan Datuk Sebagai Pengeluar Kelapa

By 7 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)

RUNGKUP, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Kelapa Fest Bagan Datuk (KFBD) 2024 berjaya mempromosikan daerah ini sebagai antara pengeluar produk berasaskan kelapa di Malaysia.

Menurut Bendahari Persatuan Agro Pelancongan Perak Asyikin Haji Abdul Malek, KFBD 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula 5 Oktober di Kompleks Pelancongan Bagan Datuk itu merupakan program kerjasama antara Persatuan Agro Pelancongan Perak dan Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Antara reruai pameran yang dibuka untuk kunjungan orang ramai

“Program ini membawakan pelbagai aktiviti seperti jualan makanan, minuman dan produk berasaskan kelapa daripada usahawan tempatan selain pameran dan pertunjukan tentang manfaat kegunaan kelapa untuk memberi pengetahuan kepada orang ramai terutama generasi muda.

“Di harap melalui sambutan luar biasa pengunjung dalam program yang julung kali diadakan ini akan menjadikannya sebagai program tahunan di samping membantu mempromosikan Bagan Datuk sebagai kawasan pelancongan bagi menambah pendapatan usahawan tempatan,” ujarnya.

Menarik dalam program ini, pengunjung turut berpeluang mencuba pelbagai aktiviti menggunakan kelapa seperti pertandingan pakaian beragam bertemakan kelapa, memasak umbut kelapa, cabaran minum kelapa muda, kukur kelapa, boling kelapa dan lari tempurung.

Keterujaan menyertai aktiviti tersebut dikongsi oleh pempengaruh Tik Tok Wee Fok Seong, 35, atau lebih dikenali sebagai Pak Wee yang mengakui kehadirannya dalam KFBD 2024 telah memberikan sebuah pengalaman yang berharga kerana dapat mengenali banyak produk berasaskan kelapa.

Pak Wee (bertopi) teruja menyertai aktiviti yang diadakan

“Selain buahnya boleh dimakan, kelapa turut mempunyai banyak kegunaan lain seperti lidi daun kelapa yang dijadikan penyapu, sabut kelapa digunakan untuk membuat koir dan serat kelapa, daun kelapa dijadikan pembalut untuk makanan seperti ketupat sementara batang kelapa boleh diproses menjadi kayu untuk kegunaan dalam bidang industri pembinaan dan perabot,” katanya ketika ditemubual.

KFBD 2024 turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya yang hadir mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk.

-AA-

Tinggalkan komen anda