Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Literasi Media dan Maklumat Bukan Sekadar Keupayaan untuk Menggunakan Maklumat

By 25 Oktober 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Literasi media dan maklumat adalah lebih daripada sekadar keupayaan untuk menggunakan maklumat dengan memupuk pemikiran kritis, pertimbangan etika dan kecekapan digital untuk mewujudkan warganegara yang bermaklumat, keterlibatan dan diperkasakan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, berkata kemunculan maklumat yang salah telah menghakis kepercayaan terhadap institusi, media dan juga fakta saintifik, justeru keupayaan untuk menilai secara kritis kesahihan maklumat, mempersoalkan sumbernya dan memahami konteksnya yang lebih luas adalah sangat penting.

Salah seorang penceramah iaitu Dekan, Fakulti Kemanusiaan dan Sains Kesihatan, Curtin Universiti Malaysia Prof. Dr. Roy Rillera Marzo ketika menyampaikan ceramahnya yang bertajuk ‘Building a Health Literate Society: The Intersection of Media Literacy and Digital Era’.

“Di samping itu, kemunculan kecerdasan buatan (AI) yang berupaya menjana kandungan, sama ada teks, imej atau video telah membuka kemungkinan yang luar biasa untuk kreativiti, kecekapan dan kebolehcapaian menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh dieksploitasi untuk menyebar deepfake (palsu tulen), menghasilkan kandungan yang mengelirukan dan penyebaran maklumat yang salah secara automatik dan meluas,” katanya.

Roland Sagah berkata demikian ketika merasmikan Program Minggu Literasi Media dan Maklumat 2024 dan Dialog Literasi Media dan Maklumat Global 2024, di sini semalam.

Program tersebut berfungsi sebagai platform utama untuk mendidik masyarakat tentang peranan mereka dalam dunia maklumat digital dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan literasi media dan maklumat dalam era digital.

Katanya lagi, ketika menggunakan AI, adalah penting pengguna diajar untuk menggunakan teknologi ini untuk memahami batasan, risiko dan potensi AI jika disalahgunakan.

Salah seorang peserta yang ditemui semalam, Pembantu Pustakawan Kanan, Perpustakaan Tun Abdul Rahman Yaakub (peTARY), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Masjiah Majidi, 46, berkata penggunaan AI sekarang sudah meluas serta mudah diakses oleh generasi muda di peringkat rendah persekolahan sehingga ke peringkat tertinggi.

Masjiah Majidi.

“Dialog pada hari ini berkisar tentang penggunaan teknologi AI ini dapat membantu mendapatkan maklumat dengan mudah dan mengetengahkan idea-idea secara berhemah dan berharap program seperti ini dapat terus diadakan pada masa akan datang,” ujarnya.

Seramai 130 peserta daripada pelbagai sektor seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wartawan dan media professional, ahli akademik serta kakitangan kerajaan menghadiri dialog tersebut.

Penganjuran program oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu adalah bersempena Minggu Literasi Media dan Maklumat Global yan disambut di seluruh dunia dari 24hingga 31 Oktober ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda