Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin/Hazwan Hassan (Langkawi)
LANGKAWI, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan dan agensi penyelamat di daerah ini telah bekerjasama dengan pihak pengurusan Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB) bagi mengadakan latihan menyelamat Search and Rescue Exercise (SAREX) PLSB 2024 di Langkawi SkyCab, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari yang merupakan Ketua Komander Operasi Bencana, berkata latih amal pengurusan dan pengendalian bencana yang melibatkan semua agensi kerajaan, diadakan bertujuan memastikan kesiapsiagaan agensi dalam menghadapi bencana.
“Latihan ini bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan kakitangan PLSB serta koordinasi bersama pihak agensi penyelamat dalam menghadapi situasi bencana dengan berpandukan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1,” ujarnya.
Pegawai Daerah Langkawi Mohamad Subhi Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), berkata latihan yang diadakan dapat memastikan setiap agensi yang terlibat bekerjasama dalam usaha untuk menyelamat dengan menggunakan aset-aset serta peralatan khas milik agensi tersebut bagi memastikan operasi menyelamat mangsa dapat dijalankan dengan sempurna dan terancang.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam latihan yang diadakan pada hari ini dan berharap kita semua dapat memastikan semua anggota, jentera dan aset masing-masing sentiasa dalam keadaan kesiapsigaan sekiranya berlaku apa-apa bencana di daerah Langkawi,” katanya.
Seramai 142 orang anggota penyelamat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angota Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlibat dalam latihan tersebut.
Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, Ketua Zon Langkawi Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi Mohd Zamri Abdul Ghani dan Pegawai Pertahanan Awam Langkawi, Kapt. (PA) Khairul Afzan Md Yasin.
-ZS-