
Laporan/foto: Zaidy Salim (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Malaysia akan terus menyokong perjuangan Palestin menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
“Malaysia akan terus memberi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan Pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.
“Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk memastikan keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadhil.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata demikian di sidang media Mingguan Kabinet, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual eksklusif bersama penyiar dan pengulas politik yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Mehdi Hasan mengkritik sekeras-kerasnya negara Barat atas hipokrasi yang dilihat dalam menangani konflik Gaza.
“Malaysia adalah sebuah negara kecil, tetapi ia adalah suara hati nurani, dan saya mewakili sebahagian besar rakyat Malaysia,” katanya.
-ZS-