
Laporan/foto: Sunday Grace Justimus (Sabah)
KOTA KINABALU, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Dilahirkan dengan kekurangan fizikal tidak sedikit pun menghalang Eddy Bernard, 23, untuk menggapai impiannya beraksi di arena sukan bertaraf dunia.
Sentiasa berfikiran positif dan terus maju ke depan dalam apa jua rintangan, anak kelahiran Beluran ini berjaya mencetak nama sebagai penyumbang pingat pertama Malaysia di temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 September lalu.
Berbekalkan semangat yang tidak pernah pudar dan sokongan daripada keluarga serta rakan-rakan, atlet muda itu membuktikan beliau mampu memberi saingan di atas trek larian Sukan Paralimpik dengan merangkul pingat gangsa menerusi acara 100 meter T44 (kecatatan fizikal).
Menurut Eddy, untuk berjuang di arena antarabangsa beliau menjalani latihan penuh disiplin dari segi fizikal dan mental bagi memastikan atlet sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk bertanding.

Eddy ketika sesi temubual dalam program Inspo@JaPen Sabah bersama Pegawai Penerangan Sunday Grace Justimus.
“Dari segi fizikal, saya banyak memberi fokus kepada teknik-teknik larian selain memberi perhatian khusus kepada kekuatan dan daya tahan, manakala dari aspek mental, saya sering menyertai kejohanan-kejohanan terbuka seperti Open (Tebuka) Malaysia dan kejohanan terbuka di luar negara.
“Menyertai acara antarabangsa sangat membantu saya untuk bersedia dan bersaing dengan lebih yakin dengan atlet-atlet luar negara, saya akui ada beberapa program sukar untuk dilaksanakan disebabkan keterbatasan fizikal saya, namun saya sentiasa mengingatkan diri bahawa saya setanding dengan atlet lain di pentas dunia,” ujarnya ketika ditemu bual dalam program iNSPO@JAPEN Jabatan Penerangan Sabah, di sini hari ini.
Mengimbas kembali kejayaannya di arena Paralimpik, Eddy memberitahu pingat pertama Malaysia itu merupakan satu kejayaan yang tidak dijangkakan dan menjadi bukti bahawa anak-anak kelainan upaya mempunyai kekuatan luar biasa tanpa berputus asa.
“Pada awalnya selepas melintasi garisan penamat saya sendiri tidak pasti sama ada mendapat tempat atau tidak, apabila keputusan di skrin keluar, saya terkejut dan rasa seperti tidak percaya. Pengumuman keputusan kemenangan inilah detik yang sangat membanggakan dan gembira buat saya.
“Ini adalah Paralimpik pertama saya, ini akan menjadi semangat buat anak-anak di luar sana, jangan putus asa dan malu untuk menonjolkan diri menyertai pertandingan seperti sukan di sekolah dan teruskan berlatih untuk tunjukkan kemampuan anda,” ujarnya.
-ZS-