
Laporan/foto: Zayana Isa/Ihsan Nasrul Isyam Abdul Hamid
KUANTAN, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Minggu Orientasi yang dianjurkan sempena kemasukan pelajar baharu ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) perlu dibuat mengikut peredaran zaman.
Aktivis pendidikan Nasrul Isyam Abdul Hamid, berkata minggu orientasi perlu bersifat ke arah memberi pendedahan mengenai hala tuju institusi dan fasiliti yang disediakan untuk kegunaan pelajar.

Nasrul berpandangan minggu orientasi perlu relevan mengikut peredaran zaman.
“Anak-anak sekarang telah diberi pendedahan awal mengenai kehidupan di kampus apabila mereka dapat melihat ada pelajar-pelajar yang membuat kandungan di media sosial.
“Jadi untuk pelajar-pelajar baharu ini kita perlu bimbing untuk mereka mengenal-pasti hala tuju mereka di institusi pengajian awam, cara lama sudah tidak relevan lagi dan saya lihat sekarang ini pun aktiviti-aktiviti yang melibatkan ragging (buli) secara mental dan fizikal ini sudah pun berkurangan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden yang tular di media sosial mengenai aktiviti minggu orientasi di salah sebuah institusi pengajian awam yang mendapat perhatian pengguna media sosial.

Mahasiswa perlu diberi pendedahan maklumat yang lebih jelas dan tepat.
Nasrul turut menyeru mahasiswa masa kini agar lebih berfikir panjang mengenai baik buruk tindakan yang ingin dilakukan.
Jelasnya lagi, insiden yang berlaku baru-baru ini bukanlah menjurus kepada modul minggu orientasi itu sendiri kerana ia adalah isu individu.
“Universiti merupakan gedung ilmu, jadi untuk bergurau dalam situasi-situasi begini adalah kurang sesuai,” katanya.
-ZS-