Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Penghayatan Rukun Negara perlu Diterjemahkan sebagai Negara Bersatu Padu

By 29 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Malini Md Yunos (Rembau)

REMBAU, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Setiap prinsip Rukun Negara yang merupakan falsafah kebangsaan Malaysia yang bertujuan sebagai panduan dalam kehidupan bermasyarakat untuk memperkukuh nilai-nilai teras yang menjadi asas perpaduan dan keharmonian negara kita.

“Terjemahan penghayatan Rukun Negara hendaklah kita zahirkan dalam setiap tindakan dalam usaha merealisasikan Malaysia sebagai negara yang bersatu padu, harmoni dan makmur.

Peserta melakukan aktiviti luncur keluang.

“Saya yakin bahawa dalam setiap hati anak-anak tertanam nilai-nilai murni yang mendorong kita untuk saling menghormati dan menyayangi sesama manusia,” kata Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Hj. Che Roslan Che Daud.

Beliau, berkata demikian di Perasmian Penutupan Kem Perpaduan Anak Malaysia Peringkat Negeri Sembilan ‘Menjiwai Rukun Negara’ yang melibatkan penyertaan seramai 80 orang pelajar Kelab Rukun Negara sekolah menengah dan sekolah rendah dalam Negeri Sembilan, di Kem Latihan Kenegaraan Ulu Sepri, di sini semalam.

Menurutnya, nilai-nilai murni inilah yang perlu kita pelihara dan kembangkan dalam masyarakat bagi memperkukuhkan perpaduan di antara kita

Kem anjuran JPNIN Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan, Akademi Kenegaraan Malaysia dan Yayasan Sukarelawan Siswa yang berlangsung selama empat hari tiga malam dari 25 hingga 28 Oktober lalu bertujuan memberikan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan kepada murid terhadap pembudayaan Rukun Negara dalam kehidupan seharian selain mengeratkan hubungan silaturahim antara etnik serta menerima kepelbagaian cara hidup.

Peserta melakukan aktiviti meredah hutan.

Urus setia program Mariawaty Mohd Din, 45, berkata beliau gembira melihat reaksi pelajar yang seronok dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sukaneka, latihan kerja berkumpulan, meredah hutan, luncur keluang dan persembahan kebudayaan yang dikendalikan jurulatih serta fasilitator berpengalaman dari Akademi Kenegaraan Malaysia.

“Diharapkan usaha untuk membudayakan lima prinsip Rukun Negara dalam kalangan anak, pelajar mencapai matlamat dan ia diamalkan dalam menelusuri kehidupan harian mereka dengan harapan agenda memupuk semangat jati diri dan patriotisme seperti kem perpaduan ini dilaksanakan pada setiap tahun,” katanya.

Turut hadir Pengarah JPNIN Negeri Sembilan Syahilawani Noordin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda