Laporan/foto: Nurizzati Hanis (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Kolej Komuniti Chenderoh Perak (KKCP), di sini menawarkan kursus pendek asas barista yang bertujuan untuk memberikan kemahiran asas dalam penyediaan dan penyajian kopi.
Pensyarah Operasi Perhotelan KKCP Muhammad Najib Jamil, 34, berkata kursus ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami pelbagai jenis biji kopi dan teknik penyediaan yang menarik.
‘’Peserta akan mempelajari cara menggunakan mesin kopi dengan betul termasuk cara mengendalikan mesin ‘grinder’ dan ‘steam wand’.
“Selain itu, kursus ini juga memberi tumpuan kepada aspek penyajian yang menarik seperti latte ‘art’ yang menambah nilai estetik kepada minuman,” ujarnya ketika ditemubual semalam.
Menurut Muhammad Najib, kursus ini bukan sahaja sesuai untuk individu yang ingin menceburi kerjaya dalam bidang perkhidmatan makanan dan minuman, malah juga untuk pencinta kopi yang ingin mendalami teknik penyediaan kopi di rumah.
“KKCP bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran individu tetapi juga menyokong perkembangan industri kopi tempatan,’’ katanya.
-AA-