
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
RUNGKUP, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Pertandingan nyanyian tribute kepada Allahyarham Datuk Mohd Daud Kilau atau lebih dikenali M. Daud Kilau telah diadakan sempena program Kelapa Fest Bagan Datuk (KFBD) 2024 di Kompleks Pelancongan Bagan Datuk, di sini kelmarin.
Menurut Bendahari Persatuan Agro Pelancongan Perak Asyikin Haji Abdul Malek, pertandingan ini didedikasikan buat seluruh keluarga serta peminat Allahyarham selain memperingati sumbangannya dalam bidang seni di daerah Bagan Datuk.
“Pertandingan ini terbuka kepada 10 peserta dan penyertaan adalah percuma dengan syarat peserta perlu menyanyikan lagu dendangan Allahyarham,” ujarnya.

Kehadiran penonton memberi sokongan kepada peserta-peserta pertandingan nyanyian tribute Allahyarham M. Daud Kilau
Menariknya, setiap penyertaan akan menerima hamper. Hadiah tempat pertama bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM200 dan berpeluang membuat persembahan secara langsung di Selamat Pagi Malaysia (SPM).
Sementara itu, Timbalan Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak Syed Omar Huzaimi Syed Ghaibi selaku ketua juri, berkata terdapat empat aspek yang dinilai dalam persembahan peserta iaitu vokal, persembahan, keterampilan dan keyakinan.
“Aspek vokal dinilai daripada cara pernafasan, mutu pengeluaran suara dan keseluruhan nyanyian. Aspek persembahan merangkumi kesesuaian pakaian dan prop yang digunakan. Aspek keterampilan pula dinilai melalui penjiwaan lagu dan aspek keyakinan adalah cara peserta berinteraksi dengan penonton.
“Bagi saya peserta yang hadir pada hari ini mempunyai tahap vokal dan keyakinan yang lebih kurang sama tetapi berbeza dari segi persembahan serta keterampilan,” katanya.
Dalam pada itu, tempat pertama pertandingan telah dimenangi oleh Abdul Rahim Mohd Daud dengan lagu ‘Perigi Biru’.

Mohd Fozai bekas Juara Pertandingan Pujaan RTM pada tahun 2015 memenangi tempat kedua dengan lagu ‘Laksamana Raja Di Laut’
“Kemenangan ini tidak disangka kerana rata-rata peserta yang bertanding tidak kurang hebatnya.
“Saya mengetahui mengenai pertandingan ini melalui Facebook ‘Bagan Datuk Kini’ dan menyertainya kerana hobi. Tidak kisah soal menang atau kalah,” katanya ketika ditemubual.
Abdul Rahim turut berterima kasih kepada pihak juri serta penganjur atas kemenangan dan peluang yang diberikan kepadanya.
Tempat kedua pertandingan telah dimenangi oleh Mohd Fozai Juned dengan hadiah wang tunai RM150 dan tempat ketiga Mohammad Izwan (RM100).
-AA-