
Laporan/foto: Fadzel Ramneh (Sabah)
TUARAN, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Peluang ekonomi yang luas dalam industri penternakan menuntut kerajaan untuk memberi penekanan terhadap pelaksanaan program vaksinasi dan kesedaran kesihatan ternakan termasuk kepada komuniti penternak luar bandar.
Inisiatif yang dilaksanakan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) penting untuk memastikan sektor tersebut berkembang di samping memperkukuh keupayaan penternak mengurus ternakan mengikut piawaian kesihatan yang tepat.

Suntikan vaksin 3in1 (kutu kurap) untuk kucing dan anjing
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata program vaksinasi ini akan membantu meningkatkan kualiti ternakan dan mengurangkan ancaman penyakit berbahaya antaranya penyakit Sampar Ayam atau dikenali sebagai Newcastle.
“Selain daripada program vaksinasi untuk penyakit Sampar Ayam atau Newcastle, kempen ini turut memberi penekanan terhadap kepentingan kesedaran dalam menangani penyakit zoonotik lain seperti penyakit Anjing Gila (Rabies), Penyakit Kuku dan Mulut (FMD), serta Influenza Burung Patogenik Tinggi (HPAI).

Suasana program Program Gabungan Vaksin Penyakit Newcastle (NDV4) di Kiulu, Tuaran
“Penyakit ini boleh membawa risiko serius kepada haiwan dan juga manusia, inilah sebab perlunya masyarakat di sini memahami bagaimana ia merebak, mengenal pasti simptom dan cara mencegahnya,” katanya ketika berucap merasmikan Program Gabungan Vaksin Penyakit Newcastle (NDV4) dan Kempen Kesedaran Awam di Dewan Masyarakat Kiulu di sini, kelmarin.
Salah seorang peserta program, Kanil Dayou, 46, menyatakan bahawa program tersebut amat baik dalam memberikan kesedaran kepada orang awam mengenai penjagaan haiwan ternakan.
“Program ini bukan sahaja membantu masyarakat memahami cara penjagaan haiwan ternakan tetapi juga memberi pendedahan tentang fungsi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) yang perlu diketahui oleh rakyat.
“Dan diharapkan peluang ini dapat memberi manfaat kepada penternak untuk mengoptimumkan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak DVS terutama mengatasi isu kesihatan dan kebajikan ternakan penduduk luar bandar,”ujarnya.
Program anjuran bersama DVS Sabah dan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen P.170 Tuaran ini telah diadakan di Dewan Masyarakat Kiulu yang turut dihadiri seramai 270 orang penduduk sekitar Kiulu.
-AA-