Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensi Balai Seni Negara serta kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah mengadakan Program Graff for Nation bermula pada 25 Oktober hingga 29 Oktober 2024 bertempat di Hospital Lama, Kuah di sini.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, berkata kepada pihak media Graff for Nation menekankan konsep Inovasi, Kolaborasi, Pembangunan Profesional dan Kebolehsuaian dalam kalangan penggiat seni.
“Program ini menyatukan seramai 42 orang seniman graffiti tempatan dan antarabangsa dari pelbagai negara seperti Indonesia, Singapura, China, Sepanyol, Jerman, Rusia, United Kingdom, Kanada, Belgium, Turkiye dan India,” katanya.
Menurut Amerrudin lagi, inisiatif ini seiring dengan seruan YAB Perdana Menteri Malaysia untuk mendorong penerokaan karya sastera agung negara, khususnya dalam kalangan generasi muda dan baharu. Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk mengangkat budaya melalui sastera dan menggali warisan bangsa malah untuk memperkukuh tradisi ilmu yang berakar umbi.
“Pemilihan Hospital Lama Kuah sebagai lokasi penganjuran program kali ini adalah berdasarkan kejayaan program terdahulu iaitu Kuah Graffiti Festival (KGF) X Meeting of Styles (MOS) yang menyaksikan ruang ini telah dihidupkan semula sebagai pusat seni kreatif,” ujarnya.
Salah seorang perserta Nur Sirajuddin Shariffudin, 37, dari Taiping, Perak yang ditemui media, merasa amat bangga kerana turut terlibat dalam program yang bertaraf antarabangsa ini dan dapat melihat artis-artis seni dari dalam dan luar negara berkarya secara langsung.
“Harapan saya jika program seperti ini dapat diteruskan dan dibawa ke negeri-negeri lain kerana kita dapat memperkenalkan seni graffiti itu sendiri kepada semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.
Program Graff for Nation ini telah dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Profesor Madya Dr Jalaini Abu Hassan bertempat di Hospital Lama Kuah, kelmarin.
Selain pameran lukisan graffiti terdapat juga pelbagai aktiviti dan sudut pameran seperti Sudut Jejak Seni Langkawi, Mewarna Tulisan, Mewarna Mainan Kanak kanak , Sudut Piring Hitam, Bengkel Seni dan banyak lagi yang boleh dikunjungi dan disertai oleh para pengunjung secara percuma.
Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Ahli Lembaga Pengarah LPSVN, Fauzan Omar dan Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, Mohd Syuhada Abd Razak.
-AA-