
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Maherah Marina Mahusein (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Sambutan Citra Kemerdekaan dan Martabatkan Makanan Tradisional Terengganu yang berlangsung hari ini di Wisma Persekutuan Kuala Terengganu disambut meriah oleh para pengunjung.

Nur Nadirah berharap makanan tradisi Terengganu terus mendapat sambutan bukan sahaja daripada penduduk tempatan tetapi juga di luar negeri.
Pengusaha Kopi Nisang Asli Nur Nadirah Syuhadah Rahmat, 26, meluahkan rasa bertuah kerana berpeluang menyertai pameran Makanan Tradisional Melayu. Beliau turut berkongsi kegembiraannya kerana dapat memperkenalkan makanan dan minuman tradisional seperti Kopi Nisang Asli kepada para pengunjung.
“Saya berharap agar masyarakat terus mengenali dan menghargai makanan tradisi negeri ini supaya kekal relevan walaupun zaman telah banyak berubah,” kata Nur Nadirah.
Beliau juga menzahirkan kesyukurannya kerana sepanjang penglibatan dalam industri ini, makanan tradisional Terengganu terus mendapat sambutan positif bukan sahaja daripada penduduk tempatan tetapi juga dari luar negeri.

Bonnyta memegang salinan asli Pemansyuran Kemerdekaan.
Penolong Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Terengganu Bonnyta Bujang, menegaskan bahawa penghayatan lima prinsip Rukun Negara adalah asas utama dalam mengekalkan perpaduan dan penyatuan bangsa Malaysia.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi penyediaan kuih tradisi Lok Lik Terengganu di samping demonstrasi penjilidan bahan arkib.
Pameran Rukun Negara, pertandingan kuiz Rukun Negara, pameran buku serta pendaftaran penyelidik turut diadakan.
-ZS-