
Laporan/foto: Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)
PENDANG, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pendang dengan kerjasama Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah telah menganjurkan Program Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Pendang bagi tahun 2024 di sini hari ini.

Pegawai Penerangan Daerah Pendang (tengah) bergambar bersama pemenang acara pertandingan congkak
Program yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Daerah Pendang, Pejabat Daerah dan Tanah Pendang, Pejabat Perpaduan Daerah Pendang, Pejabat Penerangan Daerah Pendang, Pejabat Pendidikan Daerah Pendang, Pejabat Kesihatan Daerah Pendang dan Jabatan Kerja Raya Daerah Pendang ini telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Dato’ Mohd Sheriff.
Dalam ucapan perasmian, Nasrun menyeru agar sukan dan aktiviti riadah ini tidak hanya dijalankan sempena sambutan Hari Sukan Negara semata-mata.
“Hari ini merupakan titik permulaan bagi setiap daripada kita terus mengamalkan dan membudayakan gaya hidup sihat dengan aktiviti bersukan,” ujarnya.

Acara aerobaton yang dijalankan selama dua jam tanpa henti
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan pada hari ini antaranya senamrobik, larian 3km dan 5km, sepak penalti, bola jaring, sepakraga tuju, boling padang, memanah, congkak, dam aji, pertandingan mewarna, kempen derma darah serta pertandingan aerobaton yang dijalankan selama dua jam tanpa henti.
Sukarelawan Belia Daerah Pendang, Nur Atikah Ibrahim, 30, ketika ditemui berkata bahawa sambutan pada hari ini merupakan platform bagi masyarakat pelbagai lapisan umur untuk memulakan amalan gaya hidup sihat dengan menyertai sukan-sukan yang dipertandingkan.
-AA-