Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Mengukir Keindahan Melalui Tanah Liat

By 12 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/ Noorsiah Mahmud (Sabah)

KOTA KINABALU, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Kehebatan seni tangan penggiat kraf tanah liat seperti mengolah seramik dan aksesori perhiasan wanita mencerminkan keindahan budaya dan warisan seni masyarakat.

Penggunaan bahan semulajadi ini mampu menghasilkan rekaan yang unik dan menarik, serta memberikan sentuhan artistik kepada setiap produk yang dihasilkan.

Antara perhiasan yang dijual oleh Mirit

Pemilik Syarikat Mirit Beads Enterprise, Mirit Tai, 58, berkata perusahaan perhiasan tanah liat yang diusahakannya itu telah bermula sejak 20 tahun lalu.

“Pada awalnya perniagaan kraf tanah liat ini saya jalankan secara berkelompok di kampung dengan bantuan beberapa agensi, termasuk Jabatan Pertanian dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Sekarang, saya mengusahakan perniagaan ini sendiri di rumah dengan menerima tempahan terus daripada pelanggan. Di samping itu, saya juga sering kali mengikuti program jualan seperti ini dan mendapat bantuan Perbadanan Kraftangan Sarawak,” katanya ketika ditemui di Festival Kraf Borneo, semalam.

Mirit melayani pelanggan yang mengunjungi gerainya

Jelasnya lagi, perhiasan tanah liat yang diusahakannya lebih kepada bermotifkan flora dan fauna membenarkan pelanggan untuk menempah mengikut permintaan corak serta kehendak mereka.

“Produk saya bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan rakyat tempatan, malahan turut mendapat sambutan pelancong asing. Biasanya, mereka membeli perhiasan seperti rantai, gelang, dan subang untuk dijadikan cenderamata,” ujarnya.

Festival Kraf Borneo 2024 telah diadakan bermula pada 26 September sehingga 13 Oktober 2024 bertempat di Pusat Beli-Belah 1 Borneo Kota Kinabalu.

-AA-

Tinggalkan komen anda