
Laporan/foto: Abd Muiz Asha’ari/Sunito Ngah Man
CAMERON HIGHLANDS, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir kilat dan tanah runtuh di Kampung Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, di sini semalam.

Sultan Pahang berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir.
Lawatan Baginda Tuanku adalah bagi meninjau kesan tanah runtuh yang telah berlaku, bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan kepada 12 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir kilat dan tanah runtuh yang terjadi baru-baru ini yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Ruil.
Tuanku Sultan Pahang, bertitah agar mangsa-mangsa bersabar dengan ujian ini dan berterima kasih kepada semua pihak terutamanya Kerajaan Negeri serta Persekutuan.
“Bermula dari hari pertama lagi apabila PPS dibuka di kawasan terjejas banjir kilat dan tanah runtuh, semua agensi ini memberi komitmen yang sangat tinggi dalam memberi bantuan kepada mangsa dan sentiasa bersiap siaga menghadapi bencana banjir ini,” titah Baginda.
-ZS-