
Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/ Mohamad Zulfikri Hadzari
GUA MUSANG, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Tanah Tinggi Lojing atau Lojing Highlands merupakan kawasan pedalaman dan juga jajahan kecil yang terletak di Gua Musang, Kelantan.

RNR Lojing tempat persinggahan pengunjung
Nama Lojing diambil bersempena perkataan bahasa Inggeris ‘logging’ yang bermaksud pembalakan, iaitu aktiviti yang paling banyak dilakukan di kawasan tanah tinggi Lojing.
Pegawai Agama Jajahan Kecil Lojing, Zulkanain Ismail, 35, berkata aktiviti ekopelancongan dapat memulihara alam serta menyediakan ruang tarikan pelancongan alam semulajadi dan ekologi buatan yang mampu menjadi pemangkin industri pelancongan Lojing.

Bunga Rafflesia antara tarikan menarik di Tanah Tinggi Lojing
“Antara tarikan utama pengunjung adalah populasi Bunga Rafflesia terbesar di dunia atau bunga pakma yang menjadi sinonim dengan Tanah Tinggi Lojing,” katanya.
Pengunjung dari Selangor Abd Rahman Idris, 40, berkata Tanah Tinggi Lojing mempunyai pelbagai tarikan alam semulajadi seperti udara yang nyaman, bukit bukau, kolam air panas, dan kepelbagaian jenis gunung yang menjadi pilihan para peminat aktiviti mendaki seperti Gunung Yong Yap yang dikategorikan sebagai ‘G7’ oleh pendaki tempatan.
“Pelbagai kemudahan seperti tapak perkhemahan yang terletak berhampiran Masjid Long Tan menjadi tapak pertemuan para pendaki dan peminat aktiviti lasak sebelum memulakan aktiviti di sekitar Lojing,” ujarnya.
Selain itu, pelbagai kemudahan telah dibangunkan seperti Hentian Rehat dan Rawat (RnR), penginapan berkonsepkan kabin serta pembangunan stesen minyak untuk menarik ramai pengunjung bagi meningkatkan ekopelancongan di Lojing.
-AA-